Sunday, May 17, 2009

sambungan

1.3 Peranan dan tanggungjawab wanita

Secara umumnya sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini, setiap di kalangan kita mempunyai peranan atau tanggungjawab masing-masing dan boleh juga dikatakan sebagai kewajipan yang perlu dilaksanakan sama ada lelaki mahupun wanita. Dalam kehidupan seharian tidak dapat tidak tanggungjawab perlu dilakukan di antaranya tanggungjawab ibu bapa terhadap anak, anak terhadap ibu bapa, suami terhadap isteri dan sebaliknya, kakitangan terhadap majikan dan sebagainya. Berikut merupakan peranan atau tanggungjawab umum yang perlu digalas oleh seorang wanita.

1.3.1 Berdakwah

Ahl cilmi bersepakat tentang wajibnya amar makruf dan nahi mungkar baik fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Mengukut jumhur ahl cilmi hukumnya fardhu kifayah dan inilah yang benar berdasarkan firman Allah s.w.t:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
( Surah al-Imran 3: 104)

Maksudnya:
Dan hendaklah di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan mereka itu adalah orang-orang yang beruntung.


Maka apabila umat yang disebutkan dalam ayat di atas iaitu segolongan melaksanakan tugasnya maka gugurlah orang lain. ( Salman al-Audah & Fadli Ilahi: 78-79)

Timbul pula persoalan sama ada terdapat perbezaan hukum di antara lelaki dan wanita dalam berdakwah. Adalah ianya wajib ke atas lelaki sahaja dan tidak ke atas perempuan? Berdasarkan hakikat yang boleh dilihat daripada al-Quran dalam surah al-Taubah ayat 71:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

( Surah al-Taubah 9:71)

Maksudnya:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah maha Perkasa lagi maha Bijaksana.

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat kesepaduan kerjasama antara lelaki dan wanita dalam melakukan amal dakwah ke arah Islam dan pengukuhan hukum-hukumnya. Penjelasan di atas menunjukkan bahawa tidak syak lagi wanita Islam mempunyai peranan istimewa dan amat penting dalam melaksanakan amal dakwah bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan dalam sesetengah keadaan peranan mereka lebih penting,malah mengatasi peranan lelaki terutamanya dalam bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Hal ini kerana kaum wanita mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Jelas bahawa kewajipan berdakwah sama sahaja antara lelaki dan wanita. Semua hujah yang mewajibkan dakwah terletak juga di bahu wanita. Hakikat masa kini menunjukkan bahawa penglibatan wanita dalam dakwah dan kerja-kerja kemasyarakatan amat penting kerana wanita adalah salah satu daripada sumber kekuatan Islam. Tidak menggugnakan kekuatan ini adalah satu pembaziran ke atas kekuatan yang ada.

Menurut Zainab al-Ghazali dalam bukunya berjudul Ila Ibnati, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif dalam arena dakwah. Hal ini kerana, penjajah Barat mengeksploitasikan wanita di dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan dalam melariskan kemungkaran yang ditaja oleh media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Menurut penelitian beliau, wanita adalah orang yang paling layak diketengahkan untuk menjalankan operasi dakwah di kalangan kaum wanita. Mereka lebih memahami tabiat, kedudukan dan permasalahan yang dihadapi oleh kaum sejenis mereka, dengan itu mereka lebih berupaya menembusi hati-hati madcu dengan pendekatan yang bersesuaian serta lebih serasi dengan fitrah mereka. (http://www.dakwah.info/v2/?p=p178)

Dengan penegasan oleh nas syarak mengenai kewajipan dakwah yang tidak membatasi jantina, pengamalan wanita di awal Islam, kenyataan dan amalan wanita Islam kini tiada lagi alasan bagi wanita untuk tidak terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah. Dalam hubungan yang sama amatlah songsang jika ada wanita yang tidak sedia terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah dengan pelbagai hujah, sedangkan dalam masa yang sama mereka bekerja di luar rumah dengan menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan mahupun swasta.

No comments:

Post a Comment