Sunday, May 17, 2009

sambungan

1.3 Peranan dan tanggungjawab wanita

Secara umumnya sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini, setiap di kalangan kita mempunyai peranan atau tanggungjawab masing-masing dan boleh juga dikatakan sebagai kewajipan yang perlu dilaksanakan sama ada lelaki mahupun wanita. Dalam kehidupan seharian tidak dapat tidak tanggungjawab perlu dilakukan di antaranya tanggungjawab ibu bapa terhadap anak, anak terhadap ibu bapa, suami terhadap isteri dan sebaliknya, kakitangan terhadap majikan dan sebagainya. Berikut merupakan peranan atau tanggungjawab umum yang perlu digalas oleh seorang wanita.

1.3.1 Berdakwah

Ahl cilmi bersepakat tentang wajibnya amar makruf dan nahi mungkar baik fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Mengukut jumhur ahl cilmi hukumnya fardhu kifayah dan inilah yang benar berdasarkan firman Allah s.w.t:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
( Surah al-Imran 3: 104)

Maksudnya:
Dan hendaklah di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran, dan mereka itu adalah orang-orang yang beruntung.


Maka apabila umat yang disebutkan dalam ayat di atas iaitu segolongan melaksanakan tugasnya maka gugurlah orang lain. ( Salman al-Audah & Fadli Ilahi: 78-79)

Timbul pula persoalan sama ada terdapat perbezaan hukum di antara lelaki dan wanita dalam berdakwah. Adalah ianya wajib ke atas lelaki sahaja dan tidak ke atas perempuan? Berdasarkan hakikat yang boleh dilihat daripada al-Quran dalam surah al-Taubah ayat 71:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

( Surah al-Taubah 9:71)

Maksudnya:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah maha Perkasa lagi maha Bijaksana.

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat kesepaduan kerjasama antara lelaki dan wanita dalam melakukan amal dakwah ke arah Islam dan pengukuhan hukum-hukumnya. Penjelasan di atas menunjukkan bahawa tidak syak lagi wanita Islam mempunyai peranan istimewa dan amat penting dalam melaksanakan amal dakwah bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan dalam sesetengah keadaan peranan mereka lebih penting,malah mengatasi peranan lelaki terutamanya dalam bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Hal ini kerana kaum wanita mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Jelas bahawa kewajipan berdakwah sama sahaja antara lelaki dan wanita. Semua hujah yang mewajibkan dakwah terletak juga di bahu wanita. Hakikat masa kini menunjukkan bahawa penglibatan wanita dalam dakwah dan kerja-kerja kemasyarakatan amat penting kerana wanita adalah salah satu daripada sumber kekuatan Islam. Tidak menggugnakan kekuatan ini adalah satu pembaziran ke atas kekuatan yang ada.

Menurut Zainab al-Ghazali dalam bukunya berjudul Ila Ibnati, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif dalam arena dakwah. Hal ini kerana, penjajah Barat mengeksploitasikan wanita di dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan dalam melariskan kemungkaran yang ditaja oleh media massa sama ada media cetak atau media elektronik. Menurut penelitian beliau, wanita adalah orang yang paling layak diketengahkan untuk menjalankan operasi dakwah di kalangan kaum wanita. Mereka lebih memahami tabiat, kedudukan dan permasalahan yang dihadapi oleh kaum sejenis mereka, dengan itu mereka lebih berupaya menembusi hati-hati madcu dengan pendekatan yang bersesuaian serta lebih serasi dengan fitrah mereka. (http://www.dakwah.info/v2/?p=p178)

Dengan penegasan oleh nas syarak mengenai kewajipan dakwah yang tidak membatasi jantina, pengamalan wanita di awal Islam, kenyataan dan amalan wanita Islam kini tiada lagi alasan bagi wanita untuk tidak terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah. Dalam hubungan yang sama amatlah songsang jika ada wanita yang tidak sedia terlibat dalam kegiatan dakwah di luar rumah dengan pelbagai hujah, sedangkan dalam masa yang sama mereka bekerja di luar rumah dengan menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan mahupun swasta.

Wednesday, April 22, 2009

KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM

1.1 KEDUDUKAN WANITA DALAM ISLAM

Pergerakan Pembebasan Wanita di negara-negara barat adalah hasil daripada ketidakpuasan hati mereka, masalah-masalah kewangan, moral serta keselamatan diri. Pergerakan-pergerakan seperti ini sebenarnya tidak diperlukan di dalam Islam. Lantaran empat belas kurun yang lalu Islam telah menggariskan kesamarataan hak, tanggungjawab dan kewajipan di antara lelaki dan wanita. Salah satu tema utama sekaligus prinsip asas dalam ajaran Islam ialah persamaan antara manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan, bangsa mahupun suku dan keturunan. Perbezaan antara manusia sebenarnya dilihat dan dinilai melalui pengabdian dan ketakwaannya kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat di bawah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
( Surah al-Hujurat 49: 13)

Maksudnya:
Wahai seluruh manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (terdiri) dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa.

Kedudukan wanita hari ini sememangnya tidak menggambarkan sebagaimana yang dipraktikan dalam ajaran Islam. Agama-agama lain sebagai contoh, telah menghapuskan simbol-simbol ketidaksempurnaan yang telah dimiliki oleh wanita umpamanya sebagai pemuas nafsu dan hamba semata-mata. Ajaran Islam pada hakikatnya memberi perhatian yang khusus kepada kaum hawa ini.

Wanita pada umumnya mempunyai hak dan tanggungjawabnya sendiri. Tanggungjawab sebagai seorang anak kepada ibu bapanya, seorang isteri terhadap suaminya, seorang guru terhadap muridnya dan sebagainya. Justeru, wanita sebenarnya turut mempunyai hak dan kebebasannya sepertimana kaum lelaki. Sebagai contoh penglibatan mereka dalam bidang kerjaya, politik, kebajikan, menuntut ilmu, sambutan perayaan, kemasyarakatan, ketenteraan dan lain-lain lagi. Namun begitu, di sana terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi oleh golongan hawa ini. Penglibatan mereka haruslah bersandarkan kepada peraturan dan tatacara yang digariskan Islam.

1.2 Asal Kejadian Wanita

Adakah kejadian wanita berbeza daripada lelaki? Adakah wanita diciptakan oleh Pencipta yang berbeza?
Firman Allah s.w.t:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاء وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

( Surah al-Nisa’ 4: 1)
Maksudnya:
Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kamu kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari jenis kamu dari diri yang satu dan darinya Allah s.w.t menciptakan isterinya dan dari keduanya Allah s.w.t mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak..

Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلا
( Surah al-Isra’ 17: 70)

Maksudnya:
Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam dan Kami angkut mereka di darat dan di laut dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.

Sudah tentu perkataan anak Adam dalam ayat di atas adalah bersifat umum iaitu merangkumi lelaki dan perempuan secara keseluruhan. Pemahaman ayat di atas ini dipertegas lagi dengan firman Allah s.w.t dalam ayat di bawah.
Firman Allah s.w.t:

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لاَ أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَأُخْرِجُواْ مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُواْ فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُواْ وَقُتِلُواْ لأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّن عِندِ اللّهِ وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
( Surah al-Imran 3 : 195)

Maksudnya:
Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah merupakan sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalanKu, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Kuhapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik.

Berdasarkan ayat di atas, dapat menolak sekiranya wujud pandangan yang mendakwa bahawa kejadian wanita berbeza daripada lelaki. Hal ini kerana al-Quran mengecam sikap mereka yang bergembira dengan kelahiran anak lelaki tetapi bersedih sekiranya dikhabarkan dengan kelahiran anak perempuan. Dalam surah al-Nahl ayat 58-59 Allah s.w.t telah merakamkan peristiwa bagaimana keadaan masyarakat terdahulu apabila mendapat tahu tentang kelahiran anak perempuan.

Firman Allah s.w.t:
وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالأُنثَى ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ.
يَتَوَارَى مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَى هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلاَ سَاء مَا يَحْكُمُونَ .
( Surah al-Nahl 16: 58-59)

Maksudnya:
Dan apabila seorang dari mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, hitam ( merah padam ) dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya dari orang ramai disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menaggung kehinaan atau akan membenamkannya ke dalam tanah ( hidup-hidup) ? Ingatlah ! alangkah buruk apa yang tetapkan.

Ayat di atas diturunkan dalam rangka usaha al-Quran mengikis pandangan yang membezakan antara lelaki dan perempuan.